Monday, July 26, 2010

BUKIT LARUT




Bukit Larut atau Maxwell Hill merupakan kawasan yang paling banyak menerima hujan di Malaysia. Hampir setiap petang hujan bukit turun dikawasan ini. Bukit Larut merupakan kawasan pelancongan tanah tinggi yang tertua di Malaysia. Diterokai sekitar tahun 1884, dikenali dengan nama Maxwell Hill sempena nama seorang Penolong Residen British di Perak iaitu, William Edward Maxwell.

Berketinggian 1250m dari aras laut, Bukit Larut menawarkan percutian yang berbeza berbanding tanah tinggi yang lain seperti Cameron Highland dan Genting Highland. Dengan kehijaun floranya yang tidak terusik serta keunikan faunanya menjanjikan satu pengalaman yang bermakna. Suasana persekitaran yang nyaman dimana suhu pada waktu siang kira-kira 15 hingga 25 darjah Celcius manakala pada waktu malamnya boleh mencapai 10 darjah Celcius.


Perjalanan mendaki melalui pacuan empat roda atau berjalan kaki memakan masa kira-kira 30 minit (jip) dan 4 ke 5 jam (berjalan) membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam sekitarnya.Dengan 72 selekoh yang menanti bersama udaranya yang nyaman dengan bauan tumbuh-tumbuhan diselang seli dengan bisikan unggas rimba mendatangkan ketenangan.

Di Bukit Larut juga disediakan penginapan yang berkonsepkan era zaman kolonial di mana kebanyakkan bangunan yang ada didirikan pada waktu itu, dikekalkan. Harga yang dikenakan juga berpatutan. Di atas bukit terdapat pusat penanaman bunga Tulip yang mana biji benih bunga ini diimport dari negara Belanda. Segala di Bukit Larut adalah berkaitan ketenangan dan keindahan alam semulajadi.


Bangunan pejabat pengurusan Bukit Larut menempatkan kaunter tiket bagi jip dan rumah penginapan




Perjalanan yang memukau pandangan mata dengan keindahan alam semulajadinya

PENJARA TAIPING


Terletak berdekatan dengan Taman Tasik Taiping serta Muzium Perak dan dikelilingi Jalan Taming Sari, Jalan Kamunting Lama, Jalan Lumba Kuda dan Jalan Taman Tasik. Dibina pada tahun 1879 di atas bekas tapak lombong bijih timah pertama di Perak, Penjara Taiping merupakan satu badan institusi kemanusiaan yang menghukum, menahan dan memasung pesalah tingkahlaku di Negeri-negeri Bersekutu dan Tidak Bersekutu di Tanah Melayu ketika itu. Asal terbinanya Penjara Taiping adalah dari Taiping Goal dan merupakan penjara yang terbesar ketika itu.

Bangunan penjara ini pada satu ketika dahulu menempatkan pejabat kerajaan, sebuah kedai roti dan kek dan sebuah kedai dobi di mana sebagai tempat banduan bekerja. Kini, bangunan ini menjadi contoh terbaik penjara abad ke-19. Sebuah muzium dan kedai menjual kraftangan dari penjara juga diperuntukkan dan terletak di hadapan Penjara Taiping.

Dalam Tahun 1952, sebuah kawasan tanah seluas 22 ekar, satu sekolah latihan latihan untuk pegawai wadar telah ditubuhkan serta berjaya menghasilkan pegawai wadar yang berkualiti. Majlis Tamat Latihan pertama telah dilaksanakan pada 24 Julai 1952. Sekolah latihan ini berjaya mencetus dan melahirkan kursus bagi Wadar Kanan Penjara (1961), Kursus Asas Pegawai Wanita (1980). Sekolah latihan ini telah dinaiktarafkan dan ditukar namanya kepada Pusat Latihan Pegawai Penjara atau PULAPEN.

Penjara Taiping tetap teguh walau mencapai usia hampir 131 tahun

SEJARAH TAIPING


Sejarah Taiping bermula apabila Long Jaafar (Menteri Larut) telah membuka lombong bijih timah di Larut. Lombong bijih timah yang pertama dibuka oleh beliau adalah di Klian Pauh ketika sedang mandi di sungai dan mendapati air sungai tersebut berubah menjadi hitam. Kawasan tersebut kini merupakan Penjara Taiping. Kelian Pauh menjadi pusat perlombongan yang utama sehinggalah satu peristiwa di mana salah seekor gajah Long Jaafar hilang selama 3 hari dan apabila kembali, dilihat badan gajah tersebut diselaputi bijih timah. Akhirnya Long Jaafar menemui tempat baru yang kaya dengan bijih timah iaitu Kelian Baru (Kamunting). Long Jaafar mengupah orang Cina untuk mengerjakan lombongnya di Larut.

Selepas Long Jaafar meninggal dunia, anaknya Ngah Ibrahim pula mengambil alih. Pada ketika beberapa pergaduhan tercetus di antara dua buah kumpulan kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai San. Perang Larut Pertama antara kedua-dua kumpulan berlaku pada 1861-1862, Perang Larut Kedua pada 1862, dan Perang Larut Ketiga pada 1871-1874. Akhirnya pihak British melantik Kapten Speedy menjadi ketua polis untuk mengamankan Taiping. Sebagai penyelesaian Perjanjian Pangkor ditandatangani dan hasilnya seorang Residen British ditempatkan di Taiping.


Tamatnya perang Larut, pihak British telah menukar nama Kelian Pauh kepada Taiping ('Kedamaian Luhur' menurut bahasa Hakka). Taiping juga dijadikan ibu negeri Perak sehingga 1937 sebelum dipindahkan ke Ipoh. Di Taiping banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk dilawati. Antaranya Muzium Taiping, Stesyen Keretapi Taiping (yang pertama di Malaysia), Taman Tasik Taiping, Bukit Larut, Penjara Taiping dan banyak lagi. Malah boleh dikatakan rugi jika tidak berkunjung ke Taiping.

Taiping bandar warisan


Salah satu mercu tanda bandar Taiping

MUZIUM PERAK




Muzium Perak, merupakan sebuah muzium yang tertua dan pertama di Malaysia. Ianya terletak di antara persimpangan Jalan Taming Sari dan Jalan Muzium Ulu serta berhadapan dengan Penjara Taiping. Bangunan muzium ini telah dibina pada tahun 1883 dan diberi ilham oleh Sir Hugh Low, residen British di Perak ketika itu. Pembinaannya mengalami kelewatan selama 3 tahun akibat masalah kewangan yang dihadapi ketika itu. Bangunan ini siap sepenuhnya pada tahun 1900 setelah penambahan bahagian dan belakang bangunan serta sayap kiri dan kanan. Kurator pertama muzium ini merupakan seorang yang mahir dalam botani dan geologi bernama Leonard Wray Jr. Muzium ini dipelihara bangunannya untuk menunjukkan ciri-ciri bangunan di zaman pemerintahan British.

Kebanyakkan artifak yang dipamerkan datangnya dari Lembah Kinta dan Lembah Lenggong. Malah kebudayaan serta cara hidup masyarakat Orang Asli serta zoologikal juga dipamerkan buat tatapan pengunjung. Di antara contoh zoologikal yang ada di dalam muzium ini adalah rangka badak sumbu serta replika tengkorak kepala seekor gajah yang telah berlanggar dengan sebuah keretapi satu ketika dulu.

Di bahagian luar muzium pula terdapat beberapa pameran statik seperti jet F-86 Sabre (TUDM), keretapi stim, koc keretapi stim, batu tanda kubu Maharaja Lela, batu nisan purba dari Sungkai, sampan purba, meriam, patung Kolonel Walker serta banyak lagi.

Sunday, July 25, 2010

ZOO TAIPING





Zoo Taiping & Night Safari adalah satu-satunya zoo yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Kedudukannya agak strategik iaitu berhampiran Taman Tasik Taiping dan Bukit Larut. Zoo Taiping merupakan sebuah zoo yang unik kerana ianya mengekalkan alam semulajadinya. Keindahannya yang dikelilingi oleh tasik, aliran anak sungai serta kehijauan floranya membuatkan kita seperti berada di hutan rimba.

Dikenali dengan nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau nama popularnya Zoo Taiping, ia didirikan diatas tanah seluas 34 ekar. Zoo Taiping mengamalkan konsep pameran terbuka dimana kebanyakkan haiwan tidak diletakkan di dalam kandang. Ini menambahkan lagi keunikannya.


Zoo taiping menyajikan 1300 ekor haiwan yang terdiri daripada 180 spesies. Malah di Zoo Taiping juga menjadi salah satu zoo yang mempamerkan spesies monyet terkecil atau marmoset. Antara binatang lain yang dipamerkan adalah harimau, singa, tapir, badak air, badak sumbu, pelbagai jenis burung, orang utan dan banyak lagi. Terdapat juga usaha-usaha membiakkan haiwan seperti harimau belang, singa, siamang, rusa, ngilai, burung kuak dan banyak lagi.

Pada 1 Mac 2003, Zoo Taiping mengorak langkah dengan membuka Night Safari kepada para pengunjung. Ianya menjadi zoo yang pertama berbuat sedemikian. Langkah ini telah sedikit sebanyak menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Ianya dibuka pada jam 8.00 - 10 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 8.00 - 12 malam (Sabtu). Para pengunjung bakal disajikan dengan haiwan yang aktif pada waktu malam (nokturnal) yang mana pada waktu siang haiwan ini banyak menghabiskan masa dengan tidur.

Zoo Taiping juga mengadakan beberapa program. Antara program yang menarik adalah program Skim Anak Angkat. Para pengunjung yang berminat boleh menaja haiwan kesukaan mereka dengan beberapa pakej yang telah ditetapkan. Selain itu, para penaja diberi peluang masuk ke zoo secara percuma berdasarkan pakej yang diambil. Langkah ini diambil untuk menyedarkan orang ramai betapa pentingnya kita memelihara alam semulajadi agar ianya terus kekal menjadi tatapan untuk generasi yang akan datang.


Pintu masuk ke Zoo Taiping


Maklumat lanjut mengenai Zoo Taiping & Night Safari boleh dilayari di sini.

Thursday, July 22, 2010

TAMAN TASIK TAIPING





Taman Tasik Taiping merupakan kawasan rekreasi yang terbesar di Taiping. Kawasan ini merupakan tapak lombong bijih timah yang tertua di Malaysia. Taman tasik ini telah dibuka sekitar tahun 1880. Tasik ini berkeluasan hingga 62 hektar. Ia telah diselia oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Para pengunjung boleh berjogging mengelilingi tasik melalui laluan yang telah disediakan. Di sepanjang laluan disediakan juga tempat-tempat untuk melakukan senaman serta pondok-pondok untuk melepaskan lelah. Pengunjung juga merentasi tasik melalui jambatan kayu yang indah buatannya. Pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan di sekitar taman tasik ini.

Taman Tasik Taiping masih mengekalkan kehijauan floranya. Sepanjang jalan mengelilingi tasik ini, disajikan pemandangan yang indah serta kerimbunan pokok-pokoknya yang menjangkau usia berpuluh tahun. Terdapat sungai kecil yang mengalir sesuai bagi para pengunjung untuk berkelah bersama keluarga. Zoo Taiping juga terletak di Taman Tasik ini dan merupakan satu-satunya zoo di sebelah utara Malaysia.

Di Taman Tasik ini terdapat beberapa kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung antaranya :-

1. Balapan
2. Taman Permainan Kanak-Kanak
3. Bulatan kasut roda
4. Tandas awam
5. Kayak dan bot (berbayar)
6. Laluan urutan tapak kaki
7. Padang golf



Antara pemandangan yang menarik di sekitar Taman Tasik Taiping


Perkhidmatan kayak dan bot (berbayar)