Sunday, July 25, 2010

ZOO TAIPING





Zoo Taiping & Night Safari adalah satu-satunya zoo yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Kedudukannya agak strategik iaitu berhampiran Taman Tasik Taiping dan Bukit Larut. Zoo Taiping merupakan sebuah zoo yang unik kerana ianya mengekalkan alam semulajadinya. Keindahannya yang dikelilingi oleh tasik, aliran anak sungai serta kehijauan floranya membuatkan kita seperti berada di hutan rimba.

Dikenali dengan nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau nama popularnya Zoo Taiping, ia didirikan diatas tanah seluas 34 ekar. Zoo Taiping mengamalkan konsep pameran terbuka dimana kebanyakkan haiwan tidak diletakkan di dalam kandang. Ini menambahkan lagi keunikannya.


Zoo taiping menyajikan 1300 ekor haiwan yang terdiri daripada 180 spesies. Malah di Zoo Taiping juga menjadi salah satu zoo yang mempamerkan spesies monyet terkecil atau marmoset. Antara binatang lain yang dipamerkan adalah harimau, singa, tapir, badak air, badak sumbu, pelbagai jenis burung, orang utan dan banyak lagi. Terdapat juga usaha-usaha membiakkan haiwan seperti harimau belang, singa, siamang, rusa, ngilai, burung kuak dan banyak lagi.

Pada 1 Mac 2003, Zoo Taiping mengorak langkah dengan membuka Night Safari kepada para pengunjung. Ianya menjadi zoo yang pertama berbuat sedemikian. Langkah ini telah sedikit sebanyak menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Ianya dibuka pada jam 8.00 - 10 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 8.00 - 12 malam (Sabtu). Para pengunjung bakal disajikan dengan haiwan yang aktif pada waktu malam (nokturnal) yang mana pada waktu siang haiwan ini banyak menghabiskan masa dengan tidur.

Zoo Taiping juga mengadakan beberapa program. Antara program yang menarik adalah program Skim Anak Angkat. Para pengunjung yang berminat boleh menaja haiwan kesukaan mereka dengan beberapa pakej yang telah ditetapkan. Selain itu, para penaja diberi peluang masuk ke zoo secara percuma berdasarkan pakej yang diambil. Langkah ini diambil untuk menyedarkan orang ramai betapa pentingnya kita memelihara alam semulajadi agar ianya terus kekal menjadi tatapan untuk generasi yang akan datang.


Pintu masuk ke Zoo Taiping


Maklumat lanjut mengenai Zoo Taiping & Night Safari boleh dilayari di sini.