Monday, July 26, 2010

SEJARAH TAIPING


Sejarah Taiping bermula apabila Long Jaafar (Menteri Larut) telah membuka lombong bijih timah di Larut. Lombong bijih timah yang pertama dibuka oleh beliau adalah di Klian Pauh ketika sedang mandi di sungai dan mendapati air sungai tersebut berubah menjadi hitam. Kawasan tersebut kini merupakan Penjara Taiping. Kelian Pauh menjadi pusat perlombongan yang utama sehinggalah satu peristiwa di mana salah seekor gajah Long Jaafar hilang selama 3 hari dan apabila kembali, dilihat badan gajah tersebut diselaputi bijih timah. Akhirnya Long Jaafar menemui tempat baru yang kaya dengan bijih timah iaitu Kelian Baru (Kamunting). Long Jaafar mengupah orang Cina untuk mengerjakan lombongnya di Larut.

Selepas Long Jaafar meninggal dunia, anaknya Ngah Ibrahim pula mengambil alih. Pada ketika beberapa pergaduhan tercetus di antara dua buah kumpulan kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai San. Perang Larut Pertama antara kedua-dua kumpulan berlaku pada 1861-1862, Perang Larut Kedua pada 1862, dan Perang Larut Ketiga pada 1871-1874. Akhirnya pihak British melantik Kapten Speedy menjadi ketua polis untuk mengamankan Taiping. Sebagai penyelesaian Perjanjian Pangkor ditandatangani dan hasilnya seorang Residen British ditempatkan di Taiping.


Tamatnya perang Larut, pihak British telah menukar nama Kelian Pauh kepada Taiping ('Kedamaian Luhur' menurut bahasa Hakka). Taiping juga dijadikan ibu negeri Perak sehingga 1937 sebelum dipindahkan ke Ipoh. Di Taiping banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk dilawati. Antaranya Muzium Taiping, Stesyen Keretapi Taiping (yang pertama di Malaysia), Taman Tasik Taiping, Bukit Larut, Penjara Taiping dan banyak lagi. Malah boleh dikatakan rugi jika tidak berkunjung ke Taiping.

Taiping bandar warisan


Salah satu mercu tanda bandar Taiping